Plot Clannad (permainan)

Latar belakang dan tema

Bahagian pertama kisah Clannad mengambil tempat di sebuah sekolah menengah di Jepun, yang merupakan sekolah terbaik di bandarnya. Sekolah menengah ini telah direka untuk menyerupai sekolah rendah dan sekolah menengah Komaba yang bekerjsama dengan Universiti Tsukuba di Setagaya, Tokyo, Jepun.[5] Sepanjang kisahnya berlalu, imabasan-imbasan singkat yang menunjukkan sebuah Dunia Ilusi ditayangkan. Dunia ilusi ini tidak mempunyai sebarang kehidupan kecuali seorang gadis kecil, yang kemudiannya mencipta sebuah objek dengan serpihan-serpihan bahan buangan, di mana para pemain dapat gunakan sebagai bahan medium untuk berinteraksi dengannya. Bahagian kisah selebihnya mengambil tempat di bandar yang sama, setelah penamat bahagian pertama dicapai.

Terdapat tema-tema berulangan yang muncul dalam ceritanya. Tema utama Clannad ialah nilai mempunyai sebuah keluarga, yang telah ditekankan oleh tajuk siri ini kerana mnurut Jun Maeda, Clannad bermaksud "keluarga" ataupun clan dalam Bahasa Ireland.[1] Di antara enam watak-watak utaanya, Tomoya, Nagisa dan Kotomi tidak mempunyai adik-beradik, meskipun ibu bapa mereka memainkan peranan yang penting dalam kisah kehidupan mereka. Kisah Fuko dan Kyou pula meletakkan adik-beradik perempuan mereka sebagai sesuatu yang penting, manakala kisah Tomoyo dipengaruhi oleh seluruh keluarganya. Dalam kisah Nagisa, terdapat suatu kemunculan berulangan iaitu "keluarga besar dango" (だんご大家族, dango daikazoku) (sebuah maskot fiksyen buat kanak-kanak) yang disukai oleh Nagisa. Tema kecil akan perkataan dalam bahasa Ireland ini berterusan dengan tema pembukaan permainan videonya, "Mag Mell", yang secara kasarnya bermaksud "keserdehanaan kegembiraan" dan berkaitan dengan mitologi Ireland. Sebuah album susunan, iaitu sebuah CD singkat mengandungi versi-versi remixed akan lagu-lagu dalam permainannya, yang dikeluarkan bersama-sama judul permainan video asalnya memiliki tajuk Mabinogi yang merupakan sebuah koleksi cerpen prosa daripada manuskrip zaman purba Wales; iaitu sebahagian daripada bahasa-bahasa Celtic, termasuklah bahasa Ireland.

Gadis-gadis dalam Clannad: Tomoyo (atas-kiri), Kotomi (atas-kanan), Fuko (bawah-kiri), Nagisa (tengah), dan Kyou (bawah-kanan).

Watak-watak utama

Para pemain memegang watak Tomoya Okazaki, iaitu protagonis siri Clannad. Tomoya dikenali di sekolah sebagai seorang murid yang nakal, atau seorang remaja yang melanggar peraturan yang ditetapkan di atas sikapnya yang tidak mementingkan pendidikan di sekolah dan perasaan apatinya terhadap kehidupan; pada peringkat awal ceritanya, dia membenci segalanya termasuklah bandar di mana dia dibesarkan, iaitu latar tempat Clannad secara menyeluruh. Dia gemar memberi komen secara terus-terang kepada mereka disekelilingnya dan tidak akan berasa teragak-agak meluahkan pendapat yang tersemat di mindanya, mahupun jika ia menyinggung perasaan orang lain. Meskipun bersikap demikian, Tomoya adalah seorang yang cukup setia terhadap rakan-rakannya, dan dilihat menbimbing dirinya untuk membantu mereka disekelilingnya yang memerlukan bantuan atau sokongan. Secara umumnya dia memiliki personaliti yang tidak mementingkan diri dan tidak meminta sebarang pembalasan di atas bantuan yang diberikannya kepada orang lain. Tomoya bertemu dengan Nagisa Furukawa, iaitu heroin utama dalam Clannad, di titik permulaan kisah judul ini. Nagisa merupakan seorang gadis yang lemah-lembut dalam percakapan serta perbuatannya, memiliki keyakinan serta harga diri yang rendah yang menyebabkannya bergantung kepada mereka disekelilingnya demi sokongan yang diperlukan; dia mempunyai tabiat aneh di mana dia berkata-kata akan nama makanan yang ingin dimakannya sebagai suatu kaedah motivasi diri, misalnya anpan. Salah satu watak heroin lain dalam Clannad bernama Kyou Fujibayashi memiliki personaliti yang garang, ganas dan bermulut celupar meskipun terkenal sebagai tukang masak yang handal dikalangan keluarga dan sahabat handainya. Apabila berasa marah Kyou tidak teragak-agak melontar sebuah kamus rujukan ke arah orang lain, yang disimpannya khas untuk tujuan tersebut. Walaubagaimanapun, Kyou kadang-kala dilihat memiliki personaliti yang lebih lemah dan lembut, terutama sekali jika berhadapan dengan kembar sepusatnya, iaitu Ryou Fujibayashi.

Tomoya juga berjumpa dengan seorang gadis yang cerdik dan pintar bernama Kotomi Ichinose, yang juga merupakan seorang heroin dalam Clannad. Kotomi berkedudukan di antara sepuluh pelajar terbaik di seluruh negara berdasarkan keputusan peperiksaan seragam dalam setiap matapelajaran-dia seringkali menetelaah beberapa bahan bacaan tambahan di perpustakaan sekolah, terutama sekali buku-buku dalam bahasa asing. Kotomi ialah seorang gadis yang senyap dengan kemahiran sosial yang lemah, justeru ia adalah amat sukar untuk berkomunikasi dengannya; ia dikatakan bahawa Kotomi pernah mengendahkan seseorang seratus peratus sewaktu membaca buku-bukunya, meskipun jika terdapat gangguan bunyi yang kuat disekelilingnya. Heroin keempat Clannad ialah seorang murid perempuan tahun kedua bernama Tomoyo Sakagami yang telah berpindah ke sekolah Tomoya. Tomoyo, seperti Kyou, boleh berubah menjadi seseorang yang amat agresif, memandangkan dirinya yang mahir dalam seni mempertahankan diri, dan merupakan seorang olahragawati. Walaupun Tomoya lebih berusia berbandingnya, Tomoyo tidak memberinya sebarang penghormatan sebagai murid senior. Tomoyo juga muncul dalam judul permainan video novel visual Key yang kelima, iaitu Tomoyo After: It's a Wonderful Life, sebagai heroin utama. Heroin terakhir dalam siri Clannad ialah seorang murid tahun pertama bernama Fuko Ibuki yang memiliki sikap suka menyendiri daripada orang lain dan, sebelum bertemu dengan Tomoya, seringkali dilihat bersendirian, mencipta ukiran kayu berbentuk tapak sulaiman menggunakan sebilah pisau kecil yang kemudiannya diberikannya kepada orang lain sebagai hadiah. Fuko mudah terpukau dengan tapak sulaiman, ataupun objek-objek berbentuk haiwan tersebut, dan seringkali menjalani suatu euforia yang singkat di mana kepekaan dirinya terhadap keadaan sekitar diambil alih secara penuh.

Cerita

Clannad menceritakan hubungan sekumpulan sahabat yang terdiri daripada lima orang gadis yang mempunyai kaitan dengan seorang budak lelaki yang sama. Tomoya Okazaki ialah seorang pelajar sekolah menengah tahun ketiga yang benci akan kehidupan. Ibu Tomoya (Atsuko) meninggal dunia semasa dia masih kecil lagi, meninggalkannya dengan ayahnya (Naoyuki) untuk membesarkannya. Setelah berlalunya kemalangan yang menimpa isterinya, ayah Tomoya kerap kali terjebak dalam alkoholisme dan perjudian, di samping mencetuskan pertelingkahan bersama-sama anak lelakinya. Pada suatu hari di mana Naoyuki mencetuskan perbalahan bersama-sama anaknya, telah menghentak Tomoya ke dinding bilik, mengakibatkan bahu Tomoya terkehel disebabkan oleh impak tolakan ayahnya. Sejak hari itu, ayahnya mula melayan Tomoya dengan lemah-lembut namun sebagai seorang yang asing dalam hidupnya, seolah-olah hubungan mereka adalah sekadar orang asing sahaja berbanding keluarga. Ini telah melukakan hati Tomoya lebih mendalam lagi daripada hubungannya dengan ayahnya sebelum ini, dan perasaan kekok apabila dia pulang ke rumah telah seringkali memaksanya melepak diluar sepanjang waktu malam. Tambahan pula, kecederaan yang diterima Tomoya telah mengakibatkannya tidak mampu mengambil bahagian dalam kelab bola keranjang yang disertainya, lalu terus memaksanya menyendiri daripada aktiviti-aktiviti sekolah, termasuklah sekolah sendiri. Justeru bermulalah kehidupan Tomoya yang terbiar. Kawan rapat Tomoya iaitu Youhei Sunohara, yang ditendang keluar daripada kelab bola sepak setelah dia mencetuskan pergaduhan, juga merupakan seorang "kaki lepak" yang sentiasa meluangkan masa dalam bilik asramanya bersama-sama Tomoya, tanpa melakukan sebang aktiviti bermanfaat.

Kisah Clannad bermula pada tanggal 14 April, 2003 pada semesta awal sekolah, di mana Tomoya merasakan bahawa kehidupannya mulai berubah apabila dia bertemu dengan Nagisa Furukawa, seorang gadis yang lemah-lembut setahun lebih tua daripada dirinya, yang mengulang semula tahun terakhir sekolah disebabkan dirinya yang kerap jatuh sakit pada tahun sebelumnya. Objektif Nagisa adalah untuk menyertai kelab drama yang tidak mampu disertainya sebelum ini disebabkan oleh penyakitnya, namun mereka mendapati bahawa kelab drama tersebut telahpun dibubarkan setelah setiap ahli-ahlinya tamat sekolah. Disebabkan Tomoya mempunyai masa tambahan yang banyak untuk diluangkan, dia mula membantu Nagisa untuk membentuk semula kelab drama. Dalam proses ini, Tomoya bertemu dan berkawan dengan beberapa gadis yang lain yang, setiap satu daripada mereka, memiliki masalah peribadi tersendiri, yang akhirnya dibantu oleh Tomoya.

Dalam bahagian kedua ceritanya, yang dimulakan sebaik sahaja bahagian pertama tamat dalam jangka masa sepuluh tahun daripada bahagian pertamanya, Tomoya dan Nagisa hidup bersama-sama sebagai sebuah keluarga. Tomoya harus mengharungi beberapa cabaran yang ditempuhi keluarganya, terutamanya penyakit Nagisa. Namun, sebaik sahaja Nagisa melahirkan anak pertama mereka, Ushio, dia meninggal dunia, meninggalkan Tomoya dalam suatu keadaan yang tertekan, memaksa ibu bapa Nagisa, Akio dan Sanae untuk mengasuh Ushio. Lima tahun kemudiannya, Tomoya bertemu dengan Shino Okazaki, nenek sebelah bapanya. Shino menjelaskan kepada Tomoya tentang sejarah silam dan tragedi yang menimpa ayahnya, serupa kepada situasi semasa yang dihadapi Tomoya setelah Nagisa meninggal dunia. Setelah mendengar cerita ini, Tomoya berputus untuk membesarkan Ushio dan menerima Naoyuki sebagai ayahnya. Walaubagaimanapun, Ushio diuji dengan penyakit yang sama dengan ibunya tidak begitu lama setelah berlalunya kejadian ini. Dalam musim sejuk seterusnya, Tomoya yang sanggup melakukan apa sahaja untuk Ushio, telah membawa anaknya bersiar-siar, namun Ushio jatuh pengsan dan kemudiannya meninggal dunia; Tomoya dikatakan mati setelah Ushio meninggalkannya. Dengan perasaan ingin menyelamatkan diri mereka daripada takdir yang tragik ini, Ushio menjadi gadis dalam dunia ilusi yang kadang-kala ditunjukkan, menyeru patung sampah (Tomoya) supaya mengumpul segala kebahagiaan dalam bandar yang sunyi itu untuk mencipta sebuah keajaiban lalu menyelamatkan Nagisa dan diri mereka.

Psikologi Tomoya dikembangkan lagi dalam mimpi yang dialaminya, memperlihatkan sebuah dunia kosong yang dielar Dunia Ilusi (幻想世界, Gensō Sekai). Dalam mimpi-mimpi pertama yang dihadapinya, dia melihat sebuah dunia yang tidak dihuni sesiapa kecuali seorang gadis kecil, yang tidak pernah ditunjukkan dalam permainan video asalnya (dia ditunjukkan dalam versi anime). Saban kali dia bermimpi, dia mencungkil lebih maklumat tentang dunia tersebut. Setelah beberapa kali mengulangi mimpi di dunia tersebut, Tomoya mendapati bahawa gadis tersebut memiliki sejenis kebolehan istimewa di mana dia mampu mencipta sesuatu yang baharu dengan mencantumkan barang buangan yang dikumpulnya, lalu mencipta sebuah badan untuk Tomoya. Justeru dia dilahirkan semula dalam dunia ini, dan meluangkan masa mengekori gadis ini. Tomoya mencadangkan bahawa mereka berdua sahaja yang masih "hidup". Lalu, Tomoya dan gadis tersebut telah cuba untuk mencipta sebuah lagi patung dengan barang buangan yang mereka kumpul, namun disebabkan ia tidak memiliki roh, ia gagal bergerak sebagai makhluk hidup. Akhir sekali, musim sejuk telah mula, dan gadis tersebut mula berasa letih dan akhirnya tidak mampu bergerak disebabkan oleh cuaca disekitarnya. Mengingati sebuah dunia jauh yang merupakan tempat asal-usulnya, Tomoya telah menyakinkan gadis tersebut untuk membina sebuah kapal supaya mereka berdua mampu melarikan diri daripada cuaca sejuk tersebut dan meneruskan suatu kehidupan yang dipenuhi kegembiraan. Meskipun mereka berjaya, perjalanan mereka ditakdirkan bertemu dengan tragedi malang.

Rujukan

WikiPedia: Clannad (permainan) http://61.199.33.219/games/info/visual/key/clannad... http://www.animenewsnetwork.com/encyclopedia/anime... http://www.animenewsnetwork.com/news/2006-03-25/to... http://www.animenewsnetwork.com/news/2007-12-27/ja... http://www.animenewsnetwork.com/news/2008-01-27/ja... http://www.animenewsnetwork.com/news/2008-02-29/ja... http://www.animenewsnetwork.com/news/2008-03-16/ja... http://www.animenewsnetwork.com/news/2008-03-20/ja... http://www.animenewsnetwork.com/news/2008-03-27/cl... http://www.animenewsnetwork.com/news/2008-03-27/cl...